Senin, 04 Januari 2010

SUKSES dengan menguasai Dua Ayat


Cara Hidup yang Sempurna
Islam adalah agama yang lengkap dan Komprehensif. Konsep kesempurnaan ini dikenali sebagai Syumuliyah (menyeluruh) dalam Islam. Hal ini dinyatakan Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 3, “Pada hari ini aku sempurnakan agamamu untukmu dan Aku sempurnakan nikmatku ke atasmu dan aku redhai Islam sebagai agamamu”.
                Berdasarkan dengan perkara ini, Imam Ibnu Katsir dalam Tafsir Al-Quran Al-Azim berkata, “Ini adalah nikmat yang paling agung yang dikurniakan Allah kepada ummat ini. Apabila Allah menyempurnakan agama ini, umat Islam tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan agama lain selain Islam dan mereka juga tidak memerlukan nabi lain (selepas nabi Muhammad)”.
                Bagi memperincikan (memperhaluskan) lagi konsep ini, dalam Usul 20 Imam Hassan Al-Banna berkata, “Ajaran Islam adalah menyeluruh mencakupi kesemua bidang (aspek) kehidupan. Islam adalah Negara dan watan atau pemerintah dan ummat. Ia adalah akhlaq dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia juga adalah pengetahuan dan undang-undang ataupun ilmu dan kehakiman. Islam juga menekankan  aspek kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan. Disamping itu Islam mementingkan jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Islam adalah akidah yang benar dan ibadat yang sah”.
                Oleh sebab Islam sudah lengkap dan sempurna ia tidak menerima sebarang campur aduk dengan sebarang ideologi dan falsafah. Inilah yang Allah maksudkan dalam surah Al-Baqarah ayat 42, “Jangan kamu campuradukkan yang hak dengan yang bathil dan jangan kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahui”.
                Berhubung dengan ini, Imam Qatadah menegaskan, “Janganlah kamu campuradukkan ajaran Islam dan ajaran Yahudi dan Nasrani sedangkan kamu mengetahui agama yang diterima Allah hanyalah agama Islam”. Hal ini disebutkan dalam al-Asas fi al-Tafsir.
Sumber Ajaran Islam
Ajaran Islam yang sempurna memerlukan sumber yang atuentik. Secara dasarnya sumber ini dikenali sebagai Quran dan Sunah sebagaimana dijelaskan oleh nabi yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh dengannya kamu tidak akan sesat selama-lamanya (iaitu) Kitab Allah dan Sunahku”. Hadits ini direkodkan oleh Al-Hakim dan Ibn Abdul Barr daripada Abdullah bin Omar dan direkotkan oleh al-Baihaqi dari Abu Hurairah.
                Kedua-dua sumber ini melahirkan peta Islam yang dipenuhi pelbagai jalan yang saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain. Jalan-jalan ini dikenali sebagai syariat atau peraturan. Ia wajib dilalui dan diikuti oleh kesemua ummat Islam. Berhubung dengan ini Allah menjelaskan dalam surah al-Jatsiah ayat 18, “Kemudian kami jadikan kamu berada diatas satu syariat (peraturan) daripada urusan agama, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”.
                Apabila syariat itu dipatuhi, ummat Islam akan mencapai hasanah atau kejayaan di dunia dan juga hasanah di akhirat. Sekira ummat berpaling daripadanya, mereka akan mendapat kecelakaan daripada segenap sudut kehidupan. Hal ini telah dinyatakan Allah dalam surah Taha ayat 123 hingga ayat 124 yang bermaksud, “Jika datang kepadamu petunjuk dariKu (Allah), sesiapa yang mengikut petunjukKu dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Sesiapa yang berpaling dari daripada peringatanku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan kami akan menghimpunnya pada hari Kiamat dalam keadaan buta”.

0 komentar:

Posting Komentar

Powered By Blogger
 

Sahabat LDK Ar-Risalah

Terkini Palestinaku

LDK Ar-Risalah Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template